Seringkali kita
mendengar tokoh-tokoh tertentu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mendabik
dada dengan pengikutnya yang ramai mendapat sokongan yang kuat seolah-olah
hendak membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar. Tetapi kita
perlu ingat bilangan yang ramai itu tidak semestinya menunjukkan kita berada di
pihak yang benar. Allah tidak menilai dan memandang kuantiti yang ada pada kita
tetapi melihat kepada kualiti iman dan amalan kita. Jika kita membaca
hadith-hadith Nabi s.a.w kita akan dapati bahawa pihak yang benar di akhir
zaman nanti ialah pihak yang sedikit bilangannya berbanding pihak yang berada
di jalan yang salah. Hadith daripada Thauban r.a bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda:
“Sentiasa ada satu
golongan daripada kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, tidak akan
memberi mudarat kepada mereka orang yang meninggalkan mereka sehingga datang
hari kiamat dan mereka dalam keadaan tersebut.” (H.R. Muslim)
Hadith ini jelas
membuktikan bahawa pada akhir zaman nanti pejuang-pejuang kebenaran dan mereka
yang menyeru kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran bukan daripada kalangan
yang ramai tetapi terdiri daripada kumpulan yang kecil. Mereka akan berjuang
menegakkan kebenaran, mengajak kepada berpegang dan kembali kepada ajaran
Al-Quran dan As-sunnah, bersabar di atas segala celaan dan hinaan dan tidak
takut kepada ancaman.
Rasulullah S.A.W
pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap
asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada
masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada
kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap
menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita
telah merasai keasingan Islam itu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Islam bermula dalam
keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaiman ia bermula maka
beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah
siapakah orang asing itu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Orang yang melakukan
pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah
dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa.” (H.R.
Muslim)
Terdapat pelbagai
riwayat yang menjelaskan maksud ghuraba’ (asing) sebagaimana yang terdapat
dalam hadith ini antaranya ialah golongan soleh yang bilangannya sedikit dalam
kumpulan ramai yang melakukan kejahatan. Antara sifat ghuraba’ ialah tetap
berpegang dengan ajaran Islam ketika masyarakat dalam keadaan rosak. Perkara
ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadithnya yang bermaksud:
“Telah berpecah Yahudi
kepada 71 kumpulan dan telah berpecah Nasrani kepada 72 kumpulan dan akan
berpecah umatku kepada 73 kumpulan kesemuanya dalam neraka melainkan satu.”
Dikatakan siapakah dia wahai Rasulullah (golongan yang satu)? Jawab Rasulullah
s.a.w bersabda: “Sesiapa yang berpegang dengan apa yang aku pegang dan
sahabatku.”
Jika kita membaca
sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w kita akan dapati bagaimana risalah Islam
yang dibawa oleh baginda dianggap asing sehingga ditentang hebat oleh kafir
Quraisy Mekah. Dakwah kepada agama tauhid yang dibawa oleh Rasulullah pada
peringkat awalnya hanya diimani oleh kalangan keluarga dan sahabat yang
terdekat sahaja.
Ajaran yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w dianggap asing dan pelik oleh masyarakat Jahiliah apatah lagi
Rasulullah s.a.w menentang berhala-berhala mereka, menentang amalan syirik dan
khurafat yang mereka lakukan, menentang perzinaan, adat dan budaya yang biasa
mereka agungkan. Justeru, apabila Rasulullah s.a.w membawa sesuatu yang
bertentangan dengan amalan nenek moyang mereka maka mereka mula bertindak balas
dengan menghina, mencela Rasulullah dan menyeksa serta membunuh sahabat-sahabat
Rasulullah s.a.w. Inilah gambaran tentang asingnya Islam itu pada peringkat
awal dakwah Rasulullah s.a.w.
Firman Allah s.w.t
dalam surah Hud ayat 120:
“Setiap berita
daripada Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk
menguatkan hatimu dengannya; telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran
dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman.”
Apa yang digambarkan
oleh Rasulullah s.a.w mengenai keasingan Islam telah mula kelihatan dalam
masyarakat kita. Nilai-nilai Islam yang masih ada dalam diri kita telah
terhakis sedikit demi sedikit, dosa-dosa besar dianggap biasa, kefasadan dan
kemaksiatan dibiarkan berlaku secara terang-terangan, orang-orang jahil
bercakap mengenai Islam dan kurangnya perlaksanaan al-amru bi al-ma’ruf wan
nahy ‘anil-munkar.
Asingnya Islam juga ialah
apabila umat Islam mengabaikan kewajipan ibadat mereka kepada Allah s.w.t,
mengabaikan perkara fardu, jahil mengenai hukum halal dan haram, mendekati
perkara syubhat, riba’ dianggap halal. Yakin bahawa tanpa riba’ ekonomi tidak
mampu berkembang. Arak dan judi jika diharamkan akan memberi kesan kepada
perkembangan ekonomi negara.
Perkara ma’ruf
dianggap munkar dan munkar dianggap ma’ruf. Kebenaran dan kebatilan
dicampuradukkan. Apa yang paling menakutkan ialah manusia lebih mempercayai
hukum ciptaan manusia daripada hukum ciptaan Allah. Mereka yakin bahawa dengan
melaksanakan hukum Allah akan menyebabkan Negara berada dalam keadaan kucar
kacir dan kacau bilau.
Antara bukti asingnya
Islam ialah apabila umat Islam dihina, dibunuh dan disembelih tetapi umat Islam
lain hanya memerhatikannya sahaja. Lebih mengaibkan lagi apabila umat Islam
bergantung penuh kepada negara luar dengan anggapan tanpa kuasa luar kita tidak
mampu melakukan apa-apa.
Marilah sama-sama kita
muhasabah diri, melihat sumbangan masing-masing terhadap agama yang kita cintai
ini. Berapa ramaikah di kalangan kita yang mempunyai sifat ghuraba’ (asing)
sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w? Berapa ramai di kalangan
kita yang sanggup menegur dan mencegah kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku
dalam masyarakat? Berapa ramai di kalangan kita yang berani untuk
mempertahankan Islam, memperjuangkannya dan menegakkannya. Berapa ramai di
kalangan kita yang sanggup menahan celaan dan tohmahan kerana mempertahankan
Islam?
Rasulullah s.a.w telah
mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud:
“Mana-mana orang
mukmin yang melihat orang mukmin lain dihina dan diaibkan tetapi dia tidak
bingkas menolongnya, pada hal dia berkeupayaan membelanya, nescaya Allah
mengaibkan dirinya di hadapan orang ramai pada hari kiamat kelak”. (H.R. Ahmad)
Marilah sama-sama kita
kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Moga-moga dengan
kembalinya kita kepada ajaran Islam yang sebenar akan menjadikan kita umat yang
bermotivasi, berinovasi dan memiliki keazaman yang tinggi untuk kembali semula
menjadi umat yang cemerlang.
“Oleh itu, hendaklah
engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang benar
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang yang kembali kepada
kebenaran mengikutmu berbuat demikian; Janganlah kamu melampaui batas,
sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Hud:112)
Peringatan: Di Petik dr blog.. http://www.lamankongsi.com/2012/01/islam-pada-akhir-zaman.html
Peringatan: Di Petik dr blog.. http://www.lamankongsi.com/2012/01/islam-pada-akhir-zaman.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan